fb fb fb fb fb

Kemalangan pesawat F/A-18D Hornet kerana terlanggar burung

Kemalangan pesawat pejuang F/A-18D Hornet berpunca daripada kegagalan fungsi enjin kiri disebabkan pelanggaran dengan burung

KUANTAN, 18 September - Kemalangan pesawat pejuang F/A-18D Hornet pada 21 Ogos lalu dikesan berpunca daripada kegagalan fungsi enjin kiri disebabkan pelanggaran dengan burung (bird strike) ketika pesawat mula terbang pada ketinggian hampir 10 meter.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata cebisan bangkai burung spesis Purple Heron itu dikenalpasti dengan bantuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Menurutnya, penemuan itu hasil analisa rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) dan analisa data daripada Deployable Flight Incident Recorder System (DFIRS).

"Lembaga Siasatan telah melaksanakan siasatan terperinci sejak 22 Ogos yang dibantu oleh Defense Science and Technology Research Institute (STRIDE), Jabatan Kimia, Polis Diraja Malaysia dan United States Navy (US Navy). Hasil siasatan memberi keyakinan bahawa kemalangan pesawat F/A-18D adalah berpunca daripada kegagalan fungsi enjin kiri disebabkan oleh kemasukan burung ‘bird strike’ ketika pesawat hendak berlepas," kata beliau pada sidang media di Pangkalan Udara Kuantan, di sini hari ini.

Tambahnya, kejadian ‘bird strike’ selalu berlaku, namun insiden ini adalah kali pertama yang mengakibatkan pesawat terhempas.

Sehubungan itu jelasnya, pengoperasian pesawat tempur F/A-18D Hornet yang digantung susulan insiden terbabit, ditarik balik bermula hari ini.

Nahas sekitar pukul 9.05 malam, 21 Ogos lalu itu menyebabkan juruterbang Mejar Mohamad Azhar Alang Kamarudin, 34 tahun dan jurusensor pesawat, Kapten Mohamad Izzudin Mohamad Salleh, 28 tahun, mengalami kecederaan dan masih dalam proses pemulihan.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN