fb fb fb fb fb

Kesihatan awam penduduk terjejas banjir Sabah terkawal, tiada wabak dikesan

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad melawat penduduk terjejas banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan PPR Sri Keramat, di sini, hari ini / Foto BERNAMA

PUTATAN, 18 September- Tahap kesihatan awam penduduk terjejas banjir dan tanah runtuh di Sabah berada dalam keadaan terkawal, tanpa sebarang kes wabak dikesan setakat ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pemantauan rapi dijalankan setiap hari oleh pasukan kesihatan di lapangan, termasuk aspek penyakit berjangkit dan rawatan susulan.

“Setakat ini, saya tidak melihat sebarang tanda wabak. Hanya kes ringan seperti jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) yang dikesan. Pasukan kesihatan akan terus membuat pemantauan,” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat penduduk terjejas banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan PPR Sri Keramat, di sini, hari ini.

Datuk Seri Dr Dzulkefly memaklumkan, selain rawatan fizikal, kementerian turut memberi tumpuan kepada kesejahteraan emosi dan mental mangsa menerusi bantuan psikologi awal.

Katanya, beberapa fasiliti kesihatan yang terjejas banjir juga akan ditinjau esok bagi menilai tahap kerosakan serta menentukan keperluan segera yang perlu diberi.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN