fb fb fb fb fb

Penduduk sambut baik notis perobohan jeti haram di Sungai Golok

Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan kawalan keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand ketika tinjauan di pangkalan haram Syed Agil di Rantau Panjang / Foto fail BERNAMA

RANTAU PANJANG, 18 September- Inisiatif kerajaan menampal notis perobohan jeti haram di sepanjang Sungai Golok disambut baik penduduk sempadan Malaysia-Thailand.

Langkah itu disifatkan sebagai tindakan tegas membanteras penyeludupan barangan terlarang, pendatang tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan.

Timbalan Setiausaha JPKKP Lubok Gong, Mohamad Irwan Faizal Che Rajiun berkata, notis yang ditampal memberi mesej jelas bahawa pihak berkuasa serius menangani masalah tersebut.

“Dari segi kebaikan, aktiviti penyeludupan dadah, barangan bersubsidi dan PATI dapat dibendung,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui penutupan jeti turut menjejaskan penduduk yang mempunyai keluarga di seberang sempadan, terutamanya ketika berlaku kecemasan.

"Sekiranya berlaku kematian, masa agak terhad, penduduk terpaksa melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang yang sesak," katanya.

Sementara itu, Pengerusi JPKKP Lubok Gong, Suriani Daud pula memaklumkan, penduduk menghargai usaha pihak berkuasa dan berharap tindakan perobohan disertai penyelesaian yang membantu komuniti setempat.

Media sebelum ini melaporkan sebanyak 54 notis perobohan dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Jajahan terhadap pangkalan haram yang dibina di atas tanah milik kerajaan di Pasir Mas dan Tumpat sejak minggu lepas.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, tindakan meletakkan notis serta memasang garisan kuning di kawasan tersebut sebagai langkah awal sebelum tindakan perobohan dilakukan.

Jelas beliau, setakat ini 44 notis telah diletakkan di Tumpat, manakala sepuluh lagi di Pasir Mas. 

Bagi jajahan Jeli dan Tanah Merah pula, tiada notis diletakkan memandangkan kawasan tersebut tiada binaan berstruktur.

Sebanyak 212 jeti di pangkalan haram sepanjang Sungai Golok telah dikenal pasti untuk dirobohkan dalam operasi bersepadu pihak berkuasa tempatan bersama agensi keselamatan.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN