fb fb fb fb fb

Hari ATM ke-92: Rakyat dijemput saksikan perbarisan rasmi

Foto fail

KUANTAN, 18 September– Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-92 pada Sabtu dan Ahad ini bakal menampilkan kelainan apabila rakyat dijemput hadir menyaksikan perbarisan rasmi di Pangkalan Udara Kuantan.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, acara kali ini dibuka secara lebih inklusif dengan penyertaan masyarakat bersama warga ATM.

“Rakyat Malaysia, terutamanya di negeri Pahang dan yang berdekatan, dijemput datang beramai-ramai ke Pangkalan Udara Kuantan. Memang kali ini kita buat Hari Ulang Tahun ATM bukan hanya untuk ATM, tetapi khas juga untuk rakyat.

Kita ada karnival sekali. Jadi pada hari Sabtu pagi akan ada perbarisan dan pada perbarisan ini, KAT (Ketua Angkatan Tentera) telah beri kebenaran kepada orang awam untuk melihat perbarisan. Selalunya orang awam tidak tengok perbarisan, sekarang dijemput untuk datang ke medan perbarisan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pangkalan Udara Kuantan, hari ini.

Selain perbarisan, pelbagai pengisian turut disediakan termasuk pertunjukan udara, pameran aset ketenteraan, demonstrasi menyelamat dan karnival jualan.

Menurut beliau, sambutan ini diharap dapat menyatukan ATM dengan masyarakat, selain memberi kefahaman lebih jelas kepada rakyat tentang peranan serta pengorbanan angkatan tentera.

Program akan berlangsung bermula pukul 7.30 pagi hingga 6 petang pada Sabtu dan pukul 8.30 pagi hingga 6 petang pada Ahad.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN