fb fb fb fb fb

KKM mula agih ubat kepada klinik swasta - Khairy

(Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin)

KUALA LUMPUR, 20 Julai - Kementerian Kesihatan (KKM) mula mengagihkan simpanan ubat tertentu dari klinik kerajaan kepada klinik swasta yang bermula hari ini.

Ia susulan klinik swasta melaporkan kekurangan bekalan ubatan tertentu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata buat permulaan pihaknya mengagihkan ubat jenis "paracetamol" kepada klinik swasta berkenaan.

Katanya, langkah itu diambil bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan ubat di fasiliti swasta berkenaan.

Dalam ciapan Twitternya hari ini, Khairy memberitahu bahawa, jika orang ramai diminta membeli ubat "paracetamol" di klinik swasta dengan berlogo KKM, ia adalah wajar kerana ia daripada stok simpanan kerajaan.

(Foto fail)

Sebelum ini, Khairy mengumumkan KKM akan melepaskan stok penimbal ubat-ubatan kepada klinik dan hospital swasta untuk menangani isu kekurangan bekalan ubat di fasiliti kesihatan berkenaan.

Katanya, setakat ini masih ada fasiliti antaranya klinik swasta yang tidak mendapat bekalan ubat-ubatan untuk batuk dan selsema.

Sehubungan itu, KKM akan melepaskan stok penimbal ubat-ubatan yang berdepan masalah bekalan.

Sebelum ini media melaporkan beberapa jenis ubat-ubatan mengalami kekurangan di pasaran, termasuk di klinik swasta berikutan kegagalan pembekal dari luar negara menghantar bekalan mengikut tempoh ditetapkan akibat kekurangan bahan mentah.

Antara ubat yang didakwa mengalami kekurangan adalah ubat batuk, demam dan antibiotik yang disifatkan penting untuk rawatan harian pesakit.




Media Baharu