KUALA LUMPUR, 18 Ogos - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan seramai 1,856 pegawai perubatan dan 1,754 jururawat lantikan tetap meletak jawatan antara tahun 2020 hingga 2024.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dalam tempoh sama, KKM telah melaksanakan pelantikan tetap terhadap 13,349 pegawai perubatan dan 8,121 jururawat terlatih bagi memastikan kesinambungan tenaga kerja dalam sektor kesihatan.
Menurut beliau, beberapa langkah penambahbaikan sedang dilaksanakan termasuk menawarkan pelantikan tetap kepada 13,552 pegawai perubatan kontrak sejak 2023, iaitu melebihi sasaran 12,800 jawatan yang ditetapkan Perdana Menteri bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Bagi meningkatkan bilangan jururawat, pengambilan pelatih Diploma Kejururawatan di Institut Latihan KKM ditingkatkan daripada 1,000 pada tahun 2023 kepada 3,000 pelatih bermula 2025.
Selain itu, moratorium program Diploma Kejururawatan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) sejak 2010 telah ditamatkan pada Ogos 2024 bagi menambah kapasiti penghasilan jururawat baharu.
Tambahnya, khusus bagi Sabah dan Sarawak, KKM menetapkan 960 kuota penempatan pegawai perubatan lantikan tetap pada fasa pertama bagi mengisi keperluan di kedua-dua negeri.
"Cabaran untuk menangani isu kekurangan dan mengekalkan petugas kesihatan bukanlah satu isu yang mampu ditangani secara bersendirian oleh KKM. Penyelesaian isu ini memerlukan kerjasama rentas agensi serta komitmen bersama untuk merangka penyelesaian jangka panjang," katanya.
Penyataan bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi di Dewan Rakyat di sini.
Beliau menegaskan, KKM kekal komited memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara yang lebih berdaya tahan menerusi reformasi pembiayaan serta pemodenan penyampaian perkhidmatan.