PUTRAJAYA, 21 Ogos – Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melancarkan garis panduan pengurusan buli di tempat kerja, menjadikannya kementerian pertama dalam sektor awam yang memperkenalkan dokumen khusus bagi menangani isu tersebut.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata pelaksanaan garis panduan itu membuktikan komitmen KKM menolak budaya buli melalui dasar toleransi sifar.
“Sebagai sebuah kementerian berprestasi tinggi yang melibatkan profesional, teknokrat dan birokrat di semua peringkat, daripada pusat kecemerlangan sehingga ke klinik desa dan komuniti, kita mahu mewujudkan budaya kerja yang sihat, adil dan selamat.
“Kita akan memerangi budaya buli di semua tempat kerja tanpa kompromi,” katanya kepada pemberita selepas majlis peluncuran garis panduan itu, di sini, hari ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad / Foto Bernama
Beliau menegaskan kepimpinan tertinggi kementerian termasuk menteri, timbalan menteri serta ketua jabatan bertanggungjawab memastikan persekitaran kerja sihat dan bebas daripada sebarang amalan toksik.
Setakat 31 Julai lalu, sebanyak 430 aduan buli telah direkodkan melalui sistem MyHealth. Semua aduan itu disiasat secara teliti berlandaskan prinsip keadilan, ketelusan serta perlindungan terhadap pengadu dan pemberi maklumat.
Dalam masa sama, Dr. Dzulkefly menekankan kepentingan budaya saling mengingatkan dalam kalangan warga kerja, supaya sebarang perlakuan buli tidak dinormalisasikan dan dapat dibanteras segera.
Selain garis panduan tersebut, KKM turut memperkenalkan beberapa inisiatif sokongan lain, termasuk waktu kerja fleksibel, modul budaya korporat AKRAB, unit kaunseling, serta Talian HEAL 15555 yang beroperasi setiap hari termasuk cuti umum, bagi memberi sokongan psikososial kepada warga kerja kementerian.