KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Kerajaan sedang mempertimbangkan penubuhan Kementerian Undang-Undang bagi memastikan ekosistem perundangan negara lebih tersusun, bersepadu dan berkesan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu juga akan membolehkan Malaysia menjalankan lebih banyak libat urus bermakna dengan negara-negara ASEAN dalam usaha memperkukuh kedaulatan undang-undang.
“Dengan menyelaraskan diri kita dengan amalan terbaik bersama negara-negara jiran, Malaysia akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk membentuk sempadan serantau yang lebih adil dan responsif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penutup Forum Undang-Undang ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, timbalannya M. Kulasegaran serta Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn.