ALOR SETAR, 21 Ogos – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kedah melakukan persediaan rapi bagi menghadapi kemungkinan banjir yang dijangka bermula Oktober ini.
Antara langkah persediaan termasuk menyerahkan 10 unit bot kepada pasukan bomba komuniti di kawasan yang sering dilanda bencana banjir.
Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba (PKPjB) Awang Hidzel Awang Bujang berkata bot berkenaan merupakan sebahagian daripada 150 bot beserta aksesori bernilai RM1.8 juta yang diperoleh melalui peruntukan pembangunan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) Rolling Plan Ketiga 2023 (RP3) bagi seluruh negara.
Awang Hidzel Awang Bujang
“Penyerahan ini adalah persediaan awal menghadapi kemungkinan banjir. Selain bot yang dilengkapi enjin dan peralatan, ahli pasukan bomba komuniti turut dilatih dalam kaedah mengendalikan bot dan penyelamatan awal sebelum pegawai serta anggota bomba tiba di lokasi,” katanya.
Awang Hidzel berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bot Bomba Komuniti serta Kursus Asas Pengendalian dan Pengujian Bot JBPM Negeri Kedah di Sungai Kedah, di sini.
Beliau berkata, sebanyak 114 kawasan di 12 daerah di Kedah telah dikenal pasti berisiko banjir.
“Dengan penyerahan ini, pasukan bomba komuniti boleh membantu jabatan secara langsung dengan memberi respon awal kepada kes-kes kecemasan.
"Bomba Kedah sendiri memiliki bot yang mencukupi, namun dengan adanya bot tambahan, ia dapat mengurangkan masa respon dan meningkatkan kecekapan pegawai kami dalam menangani bencana banjir,” jelasnya.
Menurut beliau, JBPM Kedah ketika ini memiliki 26 bot aluminium, sebuah bot Kevlar dan beberapa kelengkapan lain yang mencukupi.
Selain itu, seramai 769 pegawai bomba, 163 pegawai bomba bantuan, 880 ahli pasukan bomba sukarela, dan 1,019 ahli pasukan bomba komuniti di seluruh Kedah sentiasa berada dalam keadaan siap siaga, dengan cuti dibekukan bergantung kepada situasi bencana semasa.