KOTA BAHRU, 21 Ogos - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengadakan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan bagi mendapatkan maklum balas mengenai cadangan kenaikan umur persaraan daripada 60 kepada 65 tahun.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, sesi berkenaan turut akan melibatkan persatuan pekerja, Badan Bukan Kerajaan dan persatuan - persatuan belia.
Kajian juga akan mengambil kira pendekatan daripada beberapa negara seperti Singapura yang menaikkan had umur persaraan kepada 62 tahun atau lebih.
Kajian terperinci bagaimanapun hanya akan bermula sebaik pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), namun dapatan awal akan dibuat terlebih dahulu sebagai asas rujukan.
"Ia masih memerlukan masa yang panjang dan sudah pasti JPA tidak akan bersendirian dalam melaksanakan kajian, berilah peluang kepada JPA untuk buat kajian secara komprehensif secara menyeluruh dan juga mengadakan sesi libat urus semua pihak berkepentingan supaya apa yang kita hasilkan nanti akan memuaskan semua pihak," katanya pada Program Santuni Pesara di Pengkalan Chepa.
Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan RMK13 berkata, had umur persaraan wajib akan dikaji semula seiring dengan peralihan Malaysia ke arah negara tua.
Mengenai dakwaan kononnya golongan belia tidak lagi berminat menceburi bidang perkhidmatan awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan menyifatkan ia tidak berasas memandangkan permohonan yang di terima JPA mencecah ratusan ribu setiap tahun.