fb fb fb fb fb

KKM laksana empat langkah segera tangani isu sesak di hospital

KUALA LUMPUR, 19 September - Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan beberapa langkah segera bagi menangani isu kesesakan hospital di tiga buah negeri yang dibangkitkan di Dewan Rakyat.

Antara langkah tersebut adalah memantapkan Unit Pengurusan Katil (BMU) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan katil di hospital selain mewujudkan Discharge Lounge untuk menyediakan katil bagi mereka yang memerlukan dan menambah baik masa discaj pesakit.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata kementeriannya juga turut memperluas penggunaan teknologi seperti inisiatif EMWatch yang berpotensi mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma khususnya di wad pemerhatian dengan membenarkan pesakit dipantau secara maya, preskripsi ubat secara dalam talian, serta rujukan ke klinik pakar.

Tambahnya, KKM juga meningkatkan kesedaran masyarakat tentang fungsi Jabatan Kecemasan & Trauma bagi merawat kes-kes kecemasan yang mana pesakit-pesakit bukan kecemasan boleh mendapatkan rawatan di klinik-klinik berdekatan.

"Bagi menangani masalah kesesakan di Jabatan-Jabatan Kecemasan Hospital, Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor awam (STAR) telah memperkenal inisiatif Pelanjutan Waktu Operasi Selepas Waktu Pejabat yang telah dijalankan secara rintis di Kesihatan Bandar Botanik, Klang Selangor bermula 25 Mac lalu.

"Inisiatif ini terbukti mampu mengurangkan kesesakan dan telah diperluas ke lima buah klinik kesihatan yang sesak di negeri Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Johor.

"Diharapkan agar inisiatif ini dapat diperluas ke lebih banyak klinik kesihatan pada masa akan datang," katanya ketika menggulung perbahasan Laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Sementara itu, kadar penggunaan katil di Hospital Pasir Mas Kelantan pada tahun 2022 adalah pada kadar 75.26% daripada kapasiti 120 katil iaitu pada tahap yang optimum.

Zaliha menjelaskan isu kesesakan itu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff di Dewan Rakyat.

"Bagi keperluan peralatan pula, sebanyak RM1.5 juta telah diluluskan kepada Hospital Pasir Mas sejak tahun 2020 hingga September tahun ini.

"Peruntukan ini adalah bagi perolehan alat baharu serta penggantian peralatan sedia ada mengikut keperluan hospital tersebut," jelasnya.

Bagi isu kesesakan di Hospital di daerah Sik pula diletakkan di bawah Kluster Kedah Tengah yang menerima 12 perkhidmatan kepakaran dan subkepakaran secara lawatan pakar berkala dari Hospital Sultan Abdul Halim.

"Hospital Sik merupakan sebuah hospital tanpa pakar dengan kapasiti 93 katil. Kadar penggunaan katil pada sehingga Jun tahun ini adalah masih rendah iaitu sebanyak 48.61 peratus sahaja.

"Hospital Sik juga telah mempunyai perkhidmatan kepakaran Perubatan Am secara residen," katanya yang menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Media Baharu