fb fb fb fb fb

KKM keluar 30,311 notis larangan merokok di tempat awam

KUALA LUMPUR, 21 Julai- Kementerian Kesihatan mengeluarkan sebanyak 30,311 notis Seksyen 32B di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT) dari Januari sehingga Jun lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata jumlah itu meningkat berbanding keseluruhan jumlah notis yang dikeluarkan pada tahun lalu iaitu sebanyak 15,163 notis.

Beliau berkata tahun 2022 merupakan tahun paling banyak penguatkuasaan dilaksanakan terhadap peraturan larangan merokok di tempat awam.

“Tahniah kepada penguatkuasa SIP (Sektor Inspektorat dan Perundangan) KKMPutrajaya. Insya-Allah Julai hingga Disember lagi hebat dan dasyat! #GEG #NoSmoking,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

Dalam ciapan sama, Khairy turut berkongsi data Penguatkuasaan PPKHT bagi tahun 2018 hingga tahun lepas yang menyaksikan secara keseluruhan sebanyak 57,268 notis kesalahan merokok di tempat awam dikeluarkan pada 2018; 50,946 (2019); 34,338 (2020) dan 15,163 (2021).

Sementara itu, gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Rakan Strategik GEGAR Wanita dalam kenyataan hari ini berharap agar semua Ahli Parlimen terutama wakil rakyat wanita meluluskan Rang Undang-Undang Tembakau dan Merokok yang dijangka dibentang pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Presiden Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH) Roslizawati Md Ali yang mewakili Rakan Strategik GEGAR Wanita turut menggesa agensi penguatkuasaan yang lain membantu KKM dalam usaha membendung pasaran rokok tidak sah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin

Rakan Strategik GEGAR Wanita diterajui MyWATCH, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Persatuan Mencegah Dadah (Pemadam) Kebangsaan, Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM), Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia (MAAH) dan Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health).

Sebelum ini, Khairy berkata Kabinet meluluskan draf rang udang-undang itu dan beliau dijangka membentangkan rang undang-undang itu pada sidang Parlimen ini.

Media Baharu