fb fb fb fb fb

RM83.62 juta diperuntuk atasi banjir di Kuala Lumpur - Shahidan

KUALA LUMPUR, 21 Julai- Sebanyak RM83.62 juta diperuntukkan tahun ini bagi mengatasi masalah banjir di ibu kota.

Demikian menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Dana disalurkan kepada Jabatan Perparitan dan Saliran Wilayah Persekutuan (JPSWP) yang bertanggungjawab menyelenggara 10 sungai utama dan 20 kolam takungan banjir di ibu negara.

"Bagi projek jangka panjang, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang melantik juruperunding untuk melaksanakan kajian kesesuaian terhadap cadangan membina terowong simpanan air bawah tanah berskala besar.

"Takungan air bawah tanah ini telah dibina di beberapa bandar besar lain seperti Tokyo, Bangkok, Singapura dan Amsterdam. Kita mengambil contoh terbaik bandar-bandar tersebut dalam mengatasi masalah banjir di tempat mereka," katanya.

(Shahidan Kassim)

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Xavier Jayakumar dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Tambah Shahidan, bagi intervensi jangka sederhana DBKL juga berhasrat melaksanakan 8 projek mitigasi banjir.

Antaranya di Jalan Sultan Salahuddin dan Bulatan Dato’ Onn, sekitar Jalan Raja Mahadi, Sungai Toba, Segambut dan sistem saliran Jalan Kuching.

Media Baharu