KUALA LUMPUR, 21 Julai- Pelbagai pihak sedang giat mengusahakan kajian dan pembangunan teknologi termaju termasuk komponen Revolusi Industri 4.0 bagi memastikan penghasilan penuaian pokok sawit tinggi yang berdaya maju untuk kemudahan industri perladangan sawit negara, menurut Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK).
Timbalan Menteri Datuk Willie Mongin berkata usaha yang telah dan sedang dilaksanakan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), adalah dengan kerjasama pelbagai pihak industri serta beberapa agensi penyelidikan dalam negara.
“KPPK turut mengambil maklum bahawa kos penggunaan teknologi ‘disruptive’ masih tinggi dan tidak ramai pemain industri sawit yang mampu menggunakannya. Ini menjadi kekangan apabila melibatkan kos tambahan yang tinggi,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Besut, Tan Sri Idris Jusoh mengenai strategi kementerian itu dalam menggalakkan penggunaan teknologi tersebut sebagai pemacu inovasi dalam industri sawit, khasnya berkaitan mesin untuk menuai.
Mengulas selanjutnya, Willie berkata kerajaan juga sentiasa berusaha menggalakkan penggunaan teknologi itu dalam industri sawit melalui penganjuran seminar atau latihan seperti Seminar Pemindahan Teknologi, Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB serta pelbagai program lain anjuran KPPK dan MPOB pada setiap tahun.
Malah, katanya, kerajaan juga telah bertindak mewujudkan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) pada 2021 bagi mengenal pasti, merancang dan melaksana strategi mekanisasi dan automasi perladangan sawit serta membiayai pembangunan teknologi penuaian yang bersesuaian.
Timbalan Menteri KPPK, Datuk Willie Mongin
“MARCOP juga bertujuan untuk mengatasi isu berkenaan kekurangan tenaga buruh dalam sektor perladangan sawit yang telah memberi impak kepada industri negara,” katanya.
Selain itu, Willie berkata MPOB juga telah menghasilkan lebih daripada 50 penyelidikan dan pembangunan mekanisasi untuk dikomersialkan bagi meningkatkan produktiviti sektor perladangan sawit.
”Bagi mengurangkan kepentingan tenaga buruh dan aktiviti penuaian, mesin pemotongan kuasa elektrik telah diperkenalkan yang mampu meningkatkan produktiviti berbanding kaedah manual,” katanya.