fb fb fb fb fb

KKM jangka kes berkaitan cuaca panas meningkat

(Foto BERNAMA)

KOTA BHARU, 13 Mei- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan kes penyakit berkaitan cuaca panas akan meningkat susulan cuaca panas melampau yang dijangka sehingga Ogos depan.

Timbalan Menteri Kesihatan (KKM), Lukanisman Awang Sauni berkata setakat ini kes masih lagi dalam keadaan terkawal dan masih boleh ditampung di fasiliti KKM seluruh negara.
 
"Fasiliti KKM terkawal dan hospital kita bersedia untuk menerima semua kes termasuk strok haba, kelesuan haba dan kekejangan haba," katanya kepada pemberita di sini.

Tambahnya, setakat semalam, KKM merekodkan sebanyak 14 kes berkaitan cuaca panas membabitkan enam kes di Kelantan, lima di Sarawak manakala tiga kes di Sabah.
 
Daripada jumlah berkenaan, empat kes merupakan strok haba, empat kes kelesuan haba dan kekejangan haba merekodkan sebanyak enam kes.

Kesemua kes berkenaan telah dirujuk ke hospital dan telah pulih kecuali satu kes meninggal dunia melibatkan kanak-kanak berumur 11 tahun di Kelantan pada April lalu.
 
Pihaknya bersedia bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam menyebar luas maklumat berkenaan senario cuaca panas yang dialami Malaysia ketika ini.


(Foto BERNAMA)

Media Baharu