fb fb fb fb fb

Elakkan sentimen perkauman, berkempen secara sihat - Shamsul Iskandar

KUALA LUMPUR, 13 Mei- Calon pilihan raya diharap tidak membangkitkan sebarang sentimen perkauman semasa berkempen pada Pilihan Raya Umum (PRU) negeri akan datang.

Ia bagi mengelak kekeliruan terhadap pengundi khususnya pengundi muda selain mampu menggugat keharmonian negara.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata berdasarkan pengalaman lalu, beliau bimbang masih ada beberapa ahli politik menggunakan isu berkenaan dalam meraih undi.

"Saya harap PRU negeri akan datang, kita tidak akan berkempen sebegitu. Saya nyatakan ini supaya kedua-dua pihak baik pembangkang mahu pun kerajaan. Berkempenlah secara bersih.

Kita sebagai wakil rakyat, kita jangan terlampau ekstrem kerana mahukan undi khususnya terhadap undi anak muda. Mereka ini, jika tidak dijelaskan maklumat dengan sempurna, mungkin akan terkeliru," kata Shamsul kepada pemberita selepas merasmikan Festival Peranakan Malaysia di Dewan Bahasa dan Pustaka pagi tadi.


(Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin ditemui pemberita
pada Festival Peranakan Malaysia di Dewan Bahasa dan Pustaka, pagi tadi)

Festival diadakan pada tarikh 13 Mei itu mengangkat tema perpaduan.

Ia berjaya mengumpulkan lebih 300 Ahli dan AJK Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia dalam majlis yang buat pertama kalinya diadakan di luar negeri Melaka.

Media Baharu