KUALA LUMPUR, 13 Mei- Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan julung kalinya, esok bakal membuka lembaran baharu sejarah politik negara.
Berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, konvensyen merupakan usaha mewujudkan kesefahaman dan kerjasama lebih kukuh di peringkat pimpinan parti-parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan, Datuk Romli Ishak berkata lebih 10,000 peserta daripada 19 parti politik gabungan Kerajaan Perpaduan dijangka hadir pada konvensyen berkenaan.
"Konvensyen ini matlamatnya satu saja, untuk memastikan perkataan perpaduan itu benar-benar diterjemahkan dalam sebuah kerajaan yang mantap.
"Itu antara matlamatnya supaya rakyat melihat bahawa kerajaan ini bersatu padu, stabil dan tidak berprasangka tentang kerajaan ini.
"Walaupun kita pelbagai parti politik yang menganggotainya, dengan pelbagai ideologi tetapi matlamatnya satu, iaitu demi rakyat," katanya ketika menjadi tetamu rancangan terbitan RTM di Angkasapuri, Kota Media.
(Datuk Romli Ishak)
Hapus usaha gugat politik negara
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, yakin konvensyen akan menjadi pentas terbaik mengahapuskan sebarang usaha mengganggu-gugat kestabilan politik negara.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
"Selain daripada tema, falsafah ini mesti difahami oleh rakyat. Kita boleh ada perbezaan ideologi. Ini pun kita ada dengar, tetapi Perdana Menteri sudah sebutkan mana-mana pihak yang mendakwa mempunyai sokongan cukup bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan membawa usul berkenaan ke Sidang Parlimen...beliau (PM) tidak akan menangguh Sidang Parlmen, tidak akan isytihar darurat...tapi 'we must call to a stop'
"Ini tidak baik untuk kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri dan Ahli Jemaah Menteri unutk memacu negara ini ke arah yang lebih baik," katanya.
(Datuk Megat Zulkarnain Omardin)