fb fb fb fb fb

KKM cadang peruntukan RMT ditambah

(Foto BERNAMA)

CYBERJAYA, 22 Julai- Peruntukan untuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT) iaitu RM2.50 dan RM3.00 sedia ada bagi Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan adalah tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan bahan mentah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata sejak Januari hingga Jun 2022, hanya 61% sekolah yang dipantau mematuhi menu RMT berkenaan.

Menurut beliau, ia berikutan peningkatan kos bahan mentah dan barangan lain di Malaysia yang berlaku sejak akhir ini.

"Berdasarkan kepada pemantauan kepatuhan menu RMT yang dijalankan oleh Bahagian Pemakanan KKM sendiri Pada Januari hingga Jun 2022, kita dapati hanya 61% sekolah yang dipantau mematuhi menu yang ditetapkan. Salah satu faktor ketidakcapaian adalah peningkatan harga bahan mentah," kata Khairy kepada RTM.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mencadangkan supaya pihak Kementerian Pendidikan (KPM) dapat meningkatkan kos peruntukan RMT kepada RM4.00 di Semenanjung dan RM5.00t di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi memastikan murid-murid tetap mendapat makanan berkhasiat yang diperlukan.

KKM turut mencadangkan supaya bantuan subsidi sepenuhnya terus diberikan kepada kanak-kanak daripada kumpulan miskin tegar iaitu seramai 789, 702 manakala pemberian sebahagian subsidi diberikan kepada kanak-kanak daripada kumpulan isi rumah yang lain bagi membendung masalah malpemakanan.


(Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin/Fail)

Media Baharu