
KUALA LUMPUR, 11 Oktober – Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan meneruskan usaha mempercepatkan proses penyerapan pegawai farmasi kontrak ke jawatan tetap.
- 3,545 pegawai farmasi kontrak masih berkhidmat di KKM sehingga Julai 2026.
- 115 pegawai dalam senarai simpanan menunggu lantikan tetap; KKM bersama kerajaan dan MOF komited mempercepat penyerapan.
- Langkah tangani penghijrahan jururawat: percepat pengambilan baru dan perkukuh pengekalan jururawat sedia ada.
- Pelan Hala Tuju Inisiatif Kesihatan Hati 2026-2030 dilancar untuk pengurusan menyeluruh kanser hati, saringan hingga rawatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ke arah itu, kerjasama bersepadu semua pihak amat penting bagi memastikan usaha berkenaan dapat direalisasikan dengan berkesan.
Sehingga Julai 2026, seramai 3,545 pegawai farmasi kontrak masih berkhidmat di KKM.
“Ketika ini terdapat 115 orang lagi yang berada dalam senarai simpanan atau sedang menunggu lantikan tetap. Jadi, perkara ini masih dalam proses. Saya sendiri ingin memberi komitmen bahawa dengan sokongan kerajaan, Kementerian Kewangan (MOF), serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim , kita akan mempercepatkan proses penyerapan mereka ke perkhidmatan tetap,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Hala Tuju Inisiatif Kesihatan Hati Kebangsaan 2026-2030 di sini.
Sementara itu, mengulas mengenai isu penghijrahan jururawat ke luar negara, beliau menegaskan dua tumpuan utama sedang dilaksanakan bagi menangani masalah tersebut.
Langkah berkenaan merangkumi usaha mempercepatkan pengambilan jururawat baharu dan memperkukuh pengekalan jururawat sedia ada.
“Keutamaan KKM adalah untuk memastikan perkhidmatan kejururawatan awam kekal kompetitif, kebajikan mereka terpelihara, serta prospek kerjaya mereka terus diperkasa dan ditambah baik.
“Pertama, penambahbaikan gaji melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang lalu. Kedua, pemberian insentif elaun mengikut kelayakan dan pos-basik, di mana elaun bagi jururawat berstatus pos-basik dinaikkan daripada RM100 kepada RM200. Ketiga, penetapan waktu kerja jururawat syif ditetap dan diluluskan pada 42 jam seminggu sahaja. Mereka tidak sepatutnya bekerja lebih daripada waktu tersebut, terutamanya ketika bertugas secara syif,” jelasnya.
Tambah beliau, skim perkhidmatan kejururawatan merupakan antara yang paling banyak menerima manfaat daripada pelaksanaan sistem inisiatif fleksibiliti penempatan menerusi sistem pertukaran Suka Sama Suka (3S).
Mengenai Pelan Hala Tuju Inisiatif Kesihatan Hati Kebangsaan 2026 hingga 2030 yang dilancarkan, ia bertujuan bagi memperkukuh pengurusan penyakit hati secara menyeluruh dan berkesan.
Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata, pelaksanaan pelan itu penting memandangkan lebih 70% pesakit kanser hati di Malaysia dikesan pada peringkat lewat.
“Pelan hala tuju ini akan menggunakan pendekatan multidisiplin yang menyeluruh, bermula daripada perkhidmatan kesihatan primer, saringan, diagnosis, rawatan sehingga pemantauan pesakit. Pendekatan ini turut melibatkan fasiliti kesihatan sekunder dan tertiari, serta pusat rujukan dan pusat kecemerlangan bagi pengurusan kanser hati.”
“Ringkasnya, pelan ini bertujuan memperkukuh keseluruhan pengurusan penyakit hati, khususnya kanser Hepatocellular Carcinoma (HCC), secara bersepadu tanpa mengira punca penyakit, sama ada berpunca daripada penyakit hati berlemak, jangkitan Hepatitis B atau C, yang boleh membawa kepada fibrosis, sirosis dan akhirnya kanser hati,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menganggarkan 28.2 peratus atau 6.7 juta penduduk dewasa di Malaysia menghidap penyakit hati berlemak berkaitan metabolik (MAFLD).
Daripada jumlah itu, hampir 700,000 individu dianggarkan berisiko sederhana atau tinggi untuk mengalami fibrosis hati.