
PUTRAJAYA, 11 Oktober – Semua sekolah di bawah pentadbiran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) akan beroperasi seperti biasa pada 12 Oktober 2026 (Isnin), susulan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) menunjukkan penurunan konsisten dalam tempoh tiga hari.
- IPU di Putrajaya dicatatkan pada tahap 70 setakat pukul 2 petang, menurut JPWPP.
- Pemantauan kualiti udara akan diteruskan merujuk data Jabatan Alam Sekitar bagi tindakan segera jika berubah.
- Sekolah dinasihatkan hadkan aktiviti luar, utamakan murid berisiko; PKSK T1 diteruskan mengikut jadual.
JPWPP dalam kenyataan memaklumkan, bacaan IPU di Putrajaya berada pada tahap 70 setakat pukul 2 petang ini.
Pemantauan kualiti udara akan diteruskan dari semasa ke semasa dengan merujuk data Jabatan Alam Sekitar bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya keadaan berubah.
Dalam pada itu, pihak sekolah diingatkan supaya mengehadkan aktiviti luar bilik darjah sekiranya kualiti udara merosot, selain memberi perhatian khusus kepada murid berisiko tinggi dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan.
Ibu bapa dan penjaga juga disaran mengikuti saluran rasmi JPWPP serta pihak sekolah masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai status pengoperasian sekolah.
Sementara itu, Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus ke Tingkatan Satu (PKSK T1) akan diteruskan mengikut jadual yang ditetapkan.
JPWPP menegaskan, keselamatan dan kesihatan warga sekolah kekal menjadi keutamaan dalam menghadapi perubahan kualiti udara semasa.