fb fb fb fb fb

KKM akan perkenal Akta Kualiti Air Minuman

PUTRAJAYA, 7 April - Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang untuk memperkenalkan Akta Kualiti Air Minuman dalam masa terdekat.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, ia bagi memperkukuh perlindungan terhadap ancaman kesihatan akibat air minum yang tidak selamat.

“Minum air adalah satu hak asasi manusia,” katanya pada Sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022, secara maya hari ini.

Khairy memaklumkan bahawa hakikatnya seorang daripada tiga indivdu di seluruh dunia berhadapan kekurangan akses kepada air minuman yang selamat dan mencukupi.

"KKM telah melaksanakan salah satu program kesihatan tertua di negara, yang dikenali sebagai Program Kebersihan Alam Sekitar Luar Bandar melalui Unit Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekitar (BAKAS).

"Sejak lebih 50 tahun, BAKAS telah memainkan peranan utama dan menyumbang kepada liputan bekalan air bersih dan selamat yang hampir menyeluruh di negara ini," katanya lagi.

(Khairy Jamaluddin ketika berucap merasmikan webinar Sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022/FOTO KKM)


Program Pengawasan Kualiti Air Minuman Kebangsaan (NDWQSP) KKM itu telah berjaya membantu meningkatkan kualiti kesihatan, dengan memastikan keselamatan air minuman yang disediakan kepada orang ramai, dalam mematikan ia berada dalam piawaian yang ditetapkan.

Ia sekali gus mengurangkan kejadian penyakit bawaan air atau penyakit yang berkaitan dengan bekalan air awam yang berkualiti rendah.

“Program pengawasan yang memberikan amaran kepada kakitangan kesihatan dan kerja air jika kualiti air minuman merosot dan membolehkan mereka mengambil tindakan pencegahan atau pemulihan sebelum berlakunya sebarang wabak atau keracunan,” katanya.

Media Baharu