fb fb fb fb fb

Pindaan MoA pelaksanaan kurikulum dan pentaksiran STAM oleh KPM dan Al-Azhar kini di peringkat akhir

(Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berucap pada Majlis Iftar Ramadan sempena sambutan Hari Al-Azhar Sedunia 2022)

KUALA LUMPUR, 7 April - Kementerian Pendidikan (KPM) dan Al-Azhar Al-Sharif dalam peringkat akhir meminda Memorandum Perjanjian Persefahaman Akademik dan Kebudayaan (MoA) membabitkan pelaksanaan kurikulum dan pentaksiran Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, pindaan itu bagi memastikan lepasan STAM lebih berkualiti tinggi dan berupaya melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar.

Kerajaan melalui KPM dan Al-Azhar Al-Sharif, Republik Arab Mesir telah memeterai MoA pada 18 November 1999.

Menerusi perjanjian tersebut, KPM bertanggungjawab untuk mengendalikan peperiksaan STAM dengan kerjasama pihak Al-Azhar Al-Sharif.

Sijil tinggi agama tersebut telah diselaraskan mengikut kurikulum Maahad Bu`uth Islamiyyah yang dibangunkan oleh Al-Azhar sepenuhnya.


(Foto fail)

Selain itu, kandungan buku teks agama yang digunakan di semua sekolah bawah KPM turut diselaraskan dengan kandungan buku teks yang digunakan oleh pelajar di Universiti Al-Azhar.

"Lepasan STAM boleh menggunakan sijil tersebut untuk memohon kemasukan ke Universiti Al-Azhar dan institusi pengajian tinggi di Malaysia dalam bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab. Jumlah calon yang menduduki STAM mulai tahun 2000 hingga 2020 ialah seramai 125,600 orang calon," kata beliau ketika berucap pada Majlis Iftar Ramadan sempena sambutan Hari Al-Azhar Sedunia 2022 di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini.

Tambah Radzi, dalam konteks pentaksiran pula, murid yang mengikuti Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) boleh mengambil mata pelajaran Dini di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berpeluang untuk melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Murid lepasan KBD juga berpeluang menduduki peperiksaan STAM bagi tujuan melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar.

Media Baharu