(Universiti Al-Azhar/Foto fail)
KUALA LUMPUR, 7 April - Konsep Al-Wasatiyyah atau kesederhanaan yang didukung Universiti Al-Azhar Asy-Syarif terbukti berjaya mendepani cabaran pemikiran ekstremisme dan keganasan yang mampu meruntuhkan negara serta merugikan umat Islam.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, konsep Al- Wasatiyyah itu selari dengan seruan Al-Quran untuk melahirkan masyarakat yang terbuka dan bertoleransi antara satu sama lain, khususnya di Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk.
Malah, amalan kesederhanaan itu juga selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang bersifat inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.
Jelas Perdana Menteri, pengaruh Al-Azhar dalam sejarah peradaban manusia memberi kesan kepada pembentukan institusi keilmuan pada hari ini.
Kewujudan institusi keilmuan Islam di dunia khususnya di Malaysia, adalah hasil kurikulum pendidikan yang diasaskan oleh manhaj Universiti Al-Azhar terdahulu yang jauh ke hadapan dalam arena pendidikan atau Tarbiyyah Islamiah.
(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap secara dalam talian sempena Sambutan Hari Al- Azhar Sedunia 2022 dan Ulang Tahun Rabitah
Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia ke-10)
"Manhaj Al-Azhar terbukti dapat mempertahankan akidah Ahli Sunah Waljamaah daripada beberapa fahaman seperti Khawarij, Muktazilah, Syiah, Salafi, Zahiriyyah, Batiniyyah, Takfiriyyah, liberalisme, pluralisme dan beberapa fahaman yang muncul pada zaman moden ini. Al-Azhar menolak sama sekali aliran kafir-mengkafir yang dianggap menjadi punca berlaku pecah belah sesama Islam yang sekali gus menyekat usaha pembangunan ummah.
"Kecemerlangan Al-Azhar termasuk para guru yang hebat ilmunya, kurikulum pendidikan yang bersepadu dan manhaj Wasatiyyah, sewajarnya dimanfaatkan oleh umat Islam di Malaysia dalam membina sebuah generasi berilmu yang bukan hanya cemerlang di dunia tetapi juga di akhirat," kata beliau ketika berucap secara dalam talian sempena Sambutan Hari Al- Azhar Sedunia 2022 dan Ulang Tahun Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia ke-10 di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini.
Turut hadir Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.
Tambah Ismail Sabri, di Malaysia, lepasan Al-Azhar telah membentuk suatu jaringan dan hubungan yang berterusan antara universiti serta alumni dan mereka diamanahkan untuk membawa risalah Al-Azhar “Ummatan Wasata” atau “Wasatiyyah” dalam melaksanakan tugas mulia selaku ulama.
Usaha itu memberi faedah kepada agenda dakwah Islamiah, pemerkasaan Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah dan juga sebagai jaringan strategik kepada Kerajaan Malaysia bagi kepentingan agama, negara dan ummah.