KUALA LUMPUR, 5 Ogos- Penglibatan penggiat seni dalam mempelbagaikan kaedah advokasi dan hebahan penyusuan susu ibu dapat memperkasakan amalan tersebut di Malaysia.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata ia mampu memperluaskan perspektif serta mempromosikan susu ibu keunikannya kepada tumbesaran bayi.
"KKM sentiasa berusaha meningkatkan prevalens penyusuan susu ibu dengan melaksanakan pelbagai program bagi mempromosi, menggalakkan dan melindungi amalan penyusuan susu ibu.
"Justeru, pematuhan terhadap tata etika pemasaran makanan bayi dan produk berkaitan adalah kritikal bagi memastikan anak-anak kita terus diberi susu ibu tanpa diganggu gugat,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap secara maya dalam program sambutan Embracing Breastfeeding Through Arts.
Jelasnya, hasil karya seni merupakan satu kelainan kaedah advokasi selain menggalakkan penglibatan pelbagai pihak.
Bertemakan “Mengupayakan Penyusuan Susu Ibu: Perubahan Bermakna kepada Ibu Bapa Bekerjaya", sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia tahun ini memberi fokus kepada amalan penyusuan susu ibu di tempat kerja bagi ibu bapa bekerjaya.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Malaysia pada 2016 menunjukkan ibu yang menyusukan bayi sehingga bayi berusia enam bulan adalah sebanyak 47.1%, namun masih jauh daripada sasaran global dan nasional iaitu 70%.
Dr Zaliha berharap usaha ini dapat mengupayakan penyusuan susu ibu yang mampu memberi perubahan bermakna kepada ibu bapa bekerja.