fb fb fb fb fb

KKDW sedia berbincang dengan PETRA isu projek BALB

Datuk Rubiah Wang

ALOR SETAR, 15 Julai- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersedia mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air (PETRA) berkaitan isu projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sabah dan Sarawak.
 
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata, perkara itu sebagai usaha untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dan berkesan bagi memastikan rakyat di kedua-dua negeri berkenaan dapat menikmati bekalan air bersih dan sempurna.

Sehingga kini pihaknya masih menerima permohonan bekalan air bersih di kedua-dua negeri berkenaan.

"Kita hanya menyediakan fasiliti untuk akaun baru sahaja, maksudnya menyediakan paip-paip kepada customer baru khasnya di kawasan luar bandar. Manakala sumber air, penyelenggaraan paip sumber air bawah agensi lain termasuk PETRA.

"Jadi kalau adakan perbincangan, saya rasa tiada masalah. Kita boleh tambah baik sistem pengurusan air negara dan apa yang penting kementerian boleh melihat perancangan PETRA dan ambil pendekatan supaya kerjasama ini dapat memastikan hasil yang lebih baik lagi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar, di sini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof untuk mengadakan perbincangan dengan KKDW bagi membincangkan projek BALB di Sarawak dan Sabah.
 
Perbincangan itu sebagai mencari penyelesaian kepada isu berkaitan air seperti dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2024 Siri 2 yang dikeluarkan pada 5 Julai lepas.
 
Menurut laporan itu, gangguan bekalan air di Sarawak dan Sabah yang tidak ditangani dengan baik menyebabkan penduduk luar bandar di kedua-dua negeri tidak dapat menikmati air bersih dan terawat serta tidak mencapai objektif ditetapkan.
 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI