fb fb fb fb fb

Pelaksanaan e-invois dijangka tidak jejas jumlah jualan kenderaan - Tengku Zafrul

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Julai- Pelaksanaan e-invois yang dijadual bermula Ogos ini dijangka tidak memberi kesan terhadap jumlah jualan kenderaan bagi tahun ini.

Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, untuk permulaan, pelaksanaan e-invois hanya melibatkan syarikat dengan pendapatan tahunan melebihi RM100 juta.

"Oleh itu penjual-penjual kereta yang syarikatnya taklah sebesar itu. 'Should not be impacted'.. 'anyway in theory' patutnya tiada kesan.

"..Cuma kita tahu kerisauannya adalah kerana ada di sana membuat pinjaman berasaskan 100 peratus.

"Itu yang kalau dengar e-invoicing tu lebihi 'transparent'. Mungkin mereka tidak dapat melakukannya lagilah," katanya dalam sidang media selepas Pelancaran Akreditasi Halal dan Peningkatan Teknologi (HATI) oleh 'Malaysian Industrial Development Finance Bhd' (MIDF) di sini.

Sejumlah 4,000 syarikat dengan pendapatan melebihi RM100 juta disasar menjadi kumpulan pertama pelaksanaan e-invois.

Fasa kedua akan melibatkan syarikat berpendapatan tahunan sebanyak RM25 juta hingga RM100 juta mulai Januari 2025.

Penguatkuasaan penuh sistem itu akan dilaksana menjelang 1 Julai 2025.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM