KUALA LUMPUR, 15 Julai- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat seorang penjawat awam selepas dipercayai mengeluarkan hantaran jelik melibatkan elemen 3R iaitu agama, kaum dan raja di akaun TikTok miliknya.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, lelaki berusia 29 tahun itu telah disoal siasat oleh pihaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di Sungai Petani, Kedah pada Khamis lepas.
"MCMC telah menemukan akaun TikTok yang disiasat pada telefon pintar suspek. Kesemua barangan kes yang berkaitan dirampas dan disita untuk siasatan lanjut," katanya.
MCMC telah menyerahkan Notis Kehadiran pada hari sama kepada lelaki berkenaan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Kes disiasat mengikutSeksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, MCMC mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk membuat sebarang hantaran serta komunikasi yang bertentangan dengan undang-undang yang berpotensi menggugat ketenteraman awam.
"Penjawat awam juga diingatkan untuk tidak menggunakan media sosial bagi tujuan menyebarkan mesej yang melanggar undang-undang negara seperti yang terkandung dalam peringatan berkaitan arahan larangan membuat pernyataan awam oleh pegawai awam," tambah kenyataan itu.