KUCHING, 14 September - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang meneliti keperluan untuk melesenkan penyedia besar seperti Google, Meta, dan TikTok yang menjana pendapatan menerusi kandungan daripada organisasi media tempatan.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata perbincangan telah dibuat dengan platform berkenaan bagi memperhalusi perkara itu yang bertujuan memberi pulangan kepada industri media negara.
Tambah beliau, pihaknya sudah membincangkan perkara tersebut dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
"Selepas pertemuan MCMC dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dengan beberapa platform media sosial yang besar seperti TikTok, Google dan META, saya sudah membincangkan beberapa perkara dengan MCMC untuk meneliti keperluan bagi mendaftar dan melesenkan beberapa platform terbabit.
"Kita melihat banyak kandungan yang dihasilkan organisasi media Malaysia, dimanfaatkan di media sosial yang terdapat di platform besar ini, tetapi pulangan untuk media kita (Malaysia) sangat kurang," katanya ketika ditemui pemberita di program Kasih@HAWANA 2023 di sini, hari ini.
Fahmi berkata, keperluan untuk melesenkan tiga platform media sosial itu bagi memastikan ekosistem media Malaysia mampan dan sihat.
"Pulangan kepada organisasi media tempatan amat kurang, jadi kita akan terus meneliti isu ini," katanya.
(Menteri KKD Fahmi Fadzil melawat kakitangan RTM, Irwan Budi yang menghidap
penyakit kronik di Petra Jaya/FOTO FB Fahmi Fadzil)
Dalam pada itu, KKD akan berbincang dengan Pertubuhan Kebajikan Sosial (PERKESO) berhubung caruman untuk wartawan khususnya 'stringer' atau wartawan sambilan.
Katanya, pihaknya akan berjumpa PERKESO dalam tempoh terdekat untuk membincangkan usaha mengembangkan lagi skim keselamatan kepada wartawan sambilan.
"Kini semakin banyak organisasi media menggunakan wartawan sambilan dan kita mahu jika sesuatu berlaku ketika menjalankan tugas, mereka juga akan mendapat perlindungan keselamatan seperti wartawan sepenuh masa," katanya.
Terdahulu, Fahmi menyampaikan Bantuan Kasih@HAWANA kepada kakitangan RTM, Irwan Budi yang menghidap penyakit kronik di kediamannya di Taman Sourabaya Indah, Petra Jaya pada Khamis.