fb fb fb fb fb

Akta Kebebasan Maklumat akan digubal, beri akses kepada rakyat

(Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) di Parlimen/FOTO Facebook Perdana Menteri)

PUTRAJAYA, 14 September - Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) secara prinsip bersetuju dengan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat bagi memberi akses kepada orang awam untuk mendapatkan maklumat daripada badan awam dan Kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan dicapai bersama melalui mesyuarat dengan mewujudkan parameter serta garis panduan yang jelas kepada orang awam.

"Selaras dengan keputusan tersebut, Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) juga akan dipinda sewajarnya.

"Langkah ini diambil bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam dapat dipertingkat dan menggalakkan penglibatan rakyat dalam proses pembentukan dasar negara," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Anwar berkata, JKKTN juga bersetuju untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan bagi memperkasa tata kelola perolehan kerajaan secara perundangan.

Katanya, ini sekali gus bertujuan meningkatkan kebertanggungjawaban pihak yang terlibat dalam perolehan kerajaan.

"Kerajaan memandang serius isu ketirisan hasil negara terutamanya melibatkan perolehan kerajaan.

"Mesyuarat juga bersetuju supaya prinsip ketelusan diambil kira dalam RUU Perolehan Kerajaan yang bakal digubal dengan mewujudkan mekanisme aduan dan bantahan selaras dengan piawaian antarabangsa," katanya.

Tambah beliau, JKKTN juga mengambil maklum tentang 18 resolusi hasil daripada dua sesi Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 dan 2023.

Katanya, hasil tersebut yang mengemukakan syor-syor penambahbaikan daripada sudut perundangan dan dasar berkaitan tata kelola, integriti serta antirasuah.

"Resolusi ini akan diteliti untuk dijadikan input dalam pembangunan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) yang baharu," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat JKKTN sekali gus membincangkan komitmen negara untuk terus memperkasa tata kelola dalam sistem Pentadbiran Kerajaan di Parlimen hari ini.

"Perbincangan tertumpu kepada usaha untuk meningkatkan kemampanan tata kelola, khususnya melalui dua anjakan utama iaitu tata kelola rangka kerja institusi dan perundangan berkaitan rasuah," katanya.


Media Baharu