(Coldplay dijadual mengadakan konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur
pada 22 November 2023/ FB Coldplay)
KUALA LUMPUR, 23 Mei- Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan bekerjasama dengan kementerian berkaitan bagi meneliti keperluan mewujudkan undang-undang anti ulat tiket bagi mengekang aktiviti itu daripada terus berleluasa.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya memandang serius isu berkaitan penjualan semula tiket konsert pada harga tidak munasabah.
"Sekarang kita tidak ada lagi undang-undang berkaitan anti ulat tiket. Oleh sebab itu, kita akan teliti bersama kementerian lain, yang mungkin menganjurkan aktiviti atau program yang ada aspek penjualan tiket secara dalam talian atau sebaliknya.
"Kita juga akan melihat apa peruntukan undang-undang yang perlu diwujudkan untuk mengelak masalah ulat tiket ini daripada berulang pada masa depan," katanya dalam Sidang Media bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berhubung isu penjualan semula tiket konsert kumpulan muzik ternama dari United Kingdom, Coldplay.
(Fahmi Fadzil)