fb fb fb fb fb

KKD nafi Menteri keluar kenyataan garis panduan PUSPAL

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 16 Mac - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menafikan Menterinya, Fahmi Fadzil pernah mengeluarkan kenyataan berkaitan garis panduan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) sebagaimana dilaporkan dalam media.

KKD menegaskan garis panduan PUSPAL yang dikeluarkan (semakan terbaharu) bertarikh 31 Disember 2022 yang terdapat di laman web kementerian itu adalah bertujuan memudahkan dan melonggarkan syarat bagi pihak berkaitan berurusan dalam melakukan penggambaran filem asing dan persembahan artis luar negara.

(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil / FOTO FAIL) 

"Sehubungan itu, dimaklumkan juga bahawa Menteri Komunikasi dan Digital tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan garis panduan ini seperti mana yang dilaporkan dalam media," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, sebarang maklumat lanjut berkaitan garis panduan berkenaan boleh didapati dengan melayari laman web KKD atau menghubungi Jawatankuasa PUSPAL (JK-Puspal) di talian 03-8911 5356.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan susulan laporan sebuah akhbar semalam bertajuk 'Stricter Rules For Foreign Concerts: A clearer dress code and no performance allowed on religious dates', yang antara lain memetik Fahmi sebagai berkata, kemas kini garis panduan itu dibuat untuk melindungi sensitiviti rakyat negara ini selepas mendapat pandangan pelbagai pihak termasuk orang Islam dan bukan Islam.-BERNAMA

Media Baharu