fb fb fb fb fb

KKD cadang penyediaan geran 5G, perkasa PMKS

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 September- Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mencadangkan kepada Kementerian Kewangan berhubung penyediaan geran 5G dalam belanjawan akan datang.

Langkah itu antara usaha dalam memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Menurut menterinya, Fahmi Fadzil, geran 5G ini akan memberi satu kelebihan kepada syarikat PMKS dalam menghadapi cabaran penggunaan teknologi 5G.

"Saya ada berbincang dengan KSU KKD, Datuk Mohamad Fauzi dan juga pihak MDEC supaya kita cadangkan pada pihak Kementerian Kewangan tentang penyediaan satu geran 5G kepada PMKS. Kita tunggu jawapannya pada 13 Oktober nanti.

Harapan saya, agar kita dapat satu geran khusus dalam penggunaan 5G oleh PMKS di Malaysia. Jadi, kita telah ajukan kepada Menteri Kewangan dan sama-sama kita tunggu keputusannya," kata Fahmi kepada pemberita selepas merasmikan "Ericsson Imagine Live Malaysia 2023" di ibu negara.


(Foto FB Menteri)

Walaupun jumlah khusus mengenai geran itu belum didedahkan, Fahmi yakin bahawa penggunaan 5G boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dan transformasi ekonomi pelbagai sektor di Malaysia.

Geran yang dicadangkan merupakan sebahagian usaha kementeriannya menangani kadar penggunaan 5G Malaysia yang masih rendah pada 4.2% berbanding liputan 5G telah mencapai 68.8%.

Tambahnya, pelbagai usaha akan dilakukan dalam merealisasikan potensi 5G secara penuh.

Media Baharu