KAMPAR, 16 Julai - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengadakan perbincangan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan pihak terlibat berhubung caruman untuk wartawan khususnya wartawan sambilan.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata beliau telah berbincang mengenai perkara itu bersama Ketua Setiausaha, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan berharap ia dapat dilaksanakan segera.
Beliau berkata, pihaknya juga perlu meneliti isu yang dihadapi oleh para wartawan sambilan yang tidak berkhidmat dengan organisasi atau syarikat media secara sepenuh masa.
Antara perkara yang akan diteliti, katanya, ialah apabila berlaku kemalangan dan pemberita terbabit tidak boleh bekerja namun proses rehabilitasi berkos tinggi serta tidak ditampung oleh Perkeso.
"Ada beberapa perkara kita hendak teliti dan tambah baik sebab bagi saya wartawan sambilan melengkapkan ekosistem bagi para pengamal media dan mereka banyak membantu, maka kita hendak teliti apa yang kita boleh lakukan," katanya kepada pemberita, di sini.
Terdahulu, Fahmi menziarahi wartawan bebas, Ng Kan Seng di kediamannya, di sini bagi menyampaikan bantuan dan memberi sokongan kepada Ng yang kini uzur.
Fahmi yang menyampaikan sumbangan menerusi Tabung Kasih@HAWANA kepada Ng, 68, berkata wartawan bebas terbabit pernah berkhidmat di beberapa akhbar berbahasa Cina antaranya Nanyang Siang Pau, Kwong Wah Yit Poh dan Sin Chew Daily.
"Kita pun tahu peredaran zaman mungkin sedikit sukar untuk dia terus berkecimpung dalam bidang kewartawanan, bantuan yang kami sampaikan ini adalah berbentuk barang-barang dan juga wang tunai dan kita harap dapat mengurangkan sikit beban yang dipikul oleh encik Ng," katanya.
Sumbangan turut disampaikan kepada wartawan sambilan, Razif Rosli yang menghidap penyakit buah pinggang.