fb fb fb fb fb

KKD bentuk pelbagai dasar bagi imbangi permasalahan media sosial - Fahmi

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 14 Februari - Pelbagai dasar telah dibentuk oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi mengimbangi permasalahan media sosial yang dihadapi dan dalam masa yang sama turut melindungi kebebasan, hak dan privasi rakyat Malaysia.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata penambahbaikan ke atas dasar-dasar dibentuk turut mengambil kira penyertaan pelbagai pemegang taruh termasuk pihak kerajaan, penyedia platform, pembuat kandungan, pengguna serta pihak-pihak berkepentingan lain seperti forum industri serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.

"Dasar jangka masa pendek yang dilaksanakan adalah dari aspek operasi pemantauan dan penguatkuasaan secara kes demi kes. Dasar ini akan diguna pakai dan pelaksanaan pengukuhan kerjasama bersama penyedia platform termasuk aplikasi TikTok dan laman sosial yang dimiliki oleh Meta (Facebook, Instagram) dan Twitter dari sudut rangka kerja kawal selia bersama 'co-regulation'.Pendekatan dari sudut dasar jangka masa pertengahan dan panjang pula merangkumi kajian semula dan pindaan ke atas peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan ianya sentiasa relevan dan praktikal mengambil kira situasi atau keadaan kini," kata beliau ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.


(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Wangsa
Maju, Zahir Hassan di Dewan Rakyat, hari ini) 

Tambah Fahmi, selain daripada peraturan dan penguatkuasaan, KKD juga memberi penekanan dari sudut advokasi dan kesedaran serta kawal selia kendiri dalam usaha menguatkan daya ketahanan serta kesedaran pengguna untuk menggunakan apa jua platform komunikasi dengan positif dan tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang sedia ada.

KKD turut melaksanakan perkongsian maklumat untuk mendidik masyarakat supaya sentiasa bertanggungjawab serta cakna dalam memastikan kesahihan maklumat yang diterima sebelum perkongsian dilakukan menerusi video mahu pun gambar di media sosial termasuk di platform TikTok.

Media Baharu