fb fb fb fb fb

Bantuan gempa ke Syria, Malaysia tidak hirau dasar AS

(Anwar Ibrahim/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 14 Februari- Jumlah keseluruhan dana bantuan kemanusiaan dari Malaysia susulan kejadian gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria setakat ini sudah mencecah RM20 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mempertimbang untuk bertolak ke Turkiye malam ini sebagai menzahirkan keprihatinan negara, selain atas permintaan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Setakat ini, perbelanjaan keseluruhan yang diluluskan bagi misi bantuan ke Turkiye adalah sebanyak RM4 juta iaitu RM2 juta masing-masing bagi membiayai operasi setiap pasukan dengan menggunakan peruntukan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN).

Mengulas mengenai perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang memberi pengecualian 180 hari di Syria bagi transaksi berkaitan bantuan bencana pula, Anwar menegaskan Malaysia tetap akan menyampaikan bantuan tersebut.

"Dari awal lagi, kita putuskan untuk turut membantu Syria dengan mengirim alatan perubatan, walaupun pada ketika itu AS belum beri pelepasan sekatan," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Tegas beliau, soal kemanusian dan bantuan kepada Syria, Malaysia tidak akan menghiraukan dasar AS itu.

"Kerajaan Malaysia menetapkan bahawa kita tetap akan mengirim pasukan membantu, sebaik mendapat kebenaran daripada Kerajaan Syria.

"Mesyuarat telah putuskan dana, alat-alat perubatan, selain menteri pertahanan menjelaskan untuk membawa kelengkapan hospital Angkatan Tenteran Malaysia (ATM) untuk dibina sementara di Syria," katanya.

Sehingga semalam, Turkiye melaporkan bilangan kematian akibat bencana gempa bumi berukuran 7.8 mangnitud pada 6 Februari lalu itu telah mencecah seramai 31,643 orang, manakala 106,428 lagi cedera.

Angka korban di Syria pula dilaporkan seramai 5,329 orang dan 14,500 lagi cedera serta menyebabkan kerosakan kemudahan infrastruktur dan bangunan yang amat teruk.

(Anwar Ibrahim/BERNAMA)

Media Baharu