fb fb fb fb fb

Hutang negara cecah RM1.5 trilion- PM

(Sidang media selepas majlis Dialog Belanjawan 2023 turut disertai 
Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong)

PUTRAJAYA, 17 Januari- Hutang negara termasuk liabiliti kini telah mencecah sebanyak RM1.5 trilion. Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, perkara itu perlu ditangani segera.

"Ekonomi masih dianggap malap. Ia juga berkait dengan perkembangan antarabangsa, baik soal konflik Rusia-Ukraine atau pasca COVID-19 yang belum menzahirkan kekuatan ekonomi," katanya.

Kementerian Kewangan pada 29 Disember mengesahkan bahawa kerajaan akan membentangkan Belanjawan 2023 yang disemak semula di Dewan Rakyat pada 24 Februari 2023.

Semasa persidangan Dewan Rakyat pada 20 Disember, Dewan Rakyat meluluskan peruntukan khas perbelanjaan perkhidmatan berjumlah RM107.72 bilion, antaranya merangkumi bayaran gaji kepada penjawat awam, utiliti, biasiswa, bantuan kebajikan serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.

Sementara itu, Perdana Menteri menjelaskan, negara boleh melakukan penjimatan sehingga RM10 bilion daripada kebocoran yang berlaku dalam sistem perolehan kerajaan.

Katanya, kebocoran boleh dihentikan sekiranya amalan rasuah dibanteras di semua peringkat termasuk mengubah cara lama iaitu tanpa campur tangan politik atau kepentingan peniaga besar dalam perolehan kerajaan.

"Kita mengalami kebocoran yang tinggi. Belum dua bulan (saya) di Kementerian Kewangan sudah kenal pasti RM3 bilion hingga RM4 bilion yang boleh diselamatkan," katanya ketika berucap pada majlis Dialog Belanjawan 2023 bertema ‘Membangun Malaysia Madani’ di Putrajaya pagi tadi.

Turut hadir ialah dua Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.


(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media
selepas merasmikan Dialog Belanjawan 2023)

Media Baharu