BUTTERWORTH, 11 Mei - Dua kilang melibatkan kilang tilam dan kitar semula yang terletak di Kampung Tok Sani di Kawasan Perindustrian Sungai Lokan musnah dalam kebakaran, malam tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada pukul 10.01 malam.
Kebakaran tersebut memusnahkan kira-kira 60 peratus kilang tilam dan 70 peratus kilang kitar semula.
Bagaimanapun, tindakan pantas bomba berjaya menghalang api daripada merebak ke bangunan lain dan insiden tersebut berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 10.51 malam.
"Kerja pemadaman kilang berkeluasan kira-kira 1,105 meter persegi itu melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth yang turut dibantu BBP Jalan Perak, Perai, Sungai Bakap serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di kawasan berdekatan," kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, kilang tilam tersebut dipercayai menyimpan bahan kimia dan kebakaran tidak melibatkan mangsa manakala punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.