GURUN, 11 Mei - Kerja-kerja pembersihan muka sauk dan penyambungan semula paip air mentah yang terputus di Loji Rawatan Air (LRA) Gurun, Kedah telah selesai dilaksanakan oleh Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) petang semalam.
Kejadian tersebut susulan insiden kepala air di kawasan tadahan yang membekalkan sumber air mentah ke LRA berkenaan, yang menyebabkan paip air mentah terputus.
SADA dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sedang berusaha sedaya upaya bagi meminimumkan kesan gangguan bekalan air terhadap para pengguna yang terjejas.
“Bantuan bekalan air alternatif menerusi lori tangki telah dihantar ke kawasan-kawasan yang terlibat, dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis, sekolah berasrama dan lokasi upacara pengebumian,” menurut kenyataan itu.
Kejadian kepala air berkenaan berpunca daripada hujan lebat berterusan di hulu Gunung Jerai pada awal pagi semalam, yang menyebabkan aliran deras membawa serpihan kayu, batu dan lumpur.
Keadaan itu telah mengakibatkan paip yang menghubungkan muka sauk ke LRA Gurun terputus, sekali gus meningkatkan kadar kekeruhan air mentah secara mendadak.
Sebanyak 3,850 akaun pengguna dilaporkan terjejas akibat gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
Antara kawasan yang terlibat ialah Pekan Gurun, Taman Murni, Taman Sri Utama, Taman Suria, Kampung Panjang, Kampung Kilang Ketapan dan kawasan-kawasan sekitar.
Maklumat terkini mengenai status gangguan bekalan air akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform media sosial dan laman sesawang rasmi SADA di www.sada.com.my.
Pengguna yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi talian careline i-SADA di 15404.