fb fb fb fb fb

Kilang peleburan aluminium diarah tutup serta-merta, langgar peraturan sama berulang kali

CHENG, 23 Mac- Padah masih berdegil walaupun 23 kali dikompaun atas kesalahan sama sejak 2019, sebuah kilang peleburan aluminium diarah tutup serta-merta oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka selepas operasi pemotongan bekalan elektrik dijalankan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Zaidi Atan berkata tindakan itu diambil selepas mendapati premis itu melanggar kuasa penahanan alat kelengkapan di bawah Seksyen 38 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dikeluarkan oleh JAS pada 20 Ogos tahun lalu.

JAS negeri menerima satu aduan awam melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 21 September 2020 membabitkan pencemaran udara dari premis ini sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

Sebanyak 20 pemeriksaan telah dijalankan sejak premis ini beroperasi dan 23 kompaun dan sembilan notis arahan telah dikeluarkan.

“Saya difahamkan oleh Jabatan Alam Sekitar bahawa kilang ini beroperasi dua kali ganda daripada kapasiti sepatutnya. Ini menyebabkan banyak perkara yg berkaitan dengan proses ini dilanggar daripada pelan merancang bagi kegunaan bangunan ini."

"Oleh sebab itu, kita tidak boleh berkompromi lagi untuk kita ambil tindakan tegas bagi memastikan kilang ini mematuhi semula dan kalau dia nak besarkan juga, dia punya proses perlu ada laporan EIA bagi melaksanakan pembesaran pada kilang ini," kata beliau ketika ditemui media pada Operasi Pemotongan Bekalan Elektrik premis berkenaan, di sini.


(Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Zaidi Atan ditemui media ketika operasi
pemotongan bekalan elektrik kilang terbabit)

Dalam pada itu, Datuk Zaidi berkata beliau meminta pemain industri dan pemaju projek di negeri itu untuk memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan pematuhan kepada akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 dan mendapat kelulusan yang diberikan.

Media Baharu