fb fb fb fb fb

Kilang di Prai ditutup, pekerja kawalan serangga maut akibat gas beracun

Gambar hiasan

GEORGETOWN, 1 Februari – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang mengarahkan penutupan sebuah kilang di Prai selepas kejadian keracunan gas beracun yang menyebabkan seorang pekerja maut.

Menurut kenyataan JKKP Pulau Pinang, seorang dalam keadaan kritikal, manakala dua lagi menerima rawatan selepas pekerja syarikat kontraktor itu terdedah kepada gas beracun di premis tersebut pada 28 Januari.

Katanya, sehari selepas itu dua pekerja kembali ke lokasi bagi mengambil bacaan gas sebelum mengalami muntah, sesak nafas, dan pengsan sejurus meninggalkan kawasan kilang.

"Siasatan awal mendapati mangsa merupakan pekerja dari syarikat kontraktor yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja fumigasi kawalan makhluk perosak bertujuan menghapuskan serangga di kilang tersebut.

"Kerja-kerja fumigasi dijalankan bermula pada 21 sehingga 28 Januari melibatkan 8 orang pekerja.

"Kedua-dua mangsa segera dihantar ke hospital berdekatan, namun seorang disahkan meninggal dunia pada 30 Januari, manakala seorang lagi masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dalam keadaan kritikal," menurut kenyataan itu.

Doktor yang memberikan rawatan bantuan pernafasan (CPR) kepada kedua-dua mangsa turut mengalami sesak nafas dan sakit tekak akibat pendedahan kepada gas berbahaya.

Selain itu, enam pekerja lain yang mengalami simptom awal telah dibenarkan pulang tetapi masih dalam pemantauan.

Sehubungan itu, JKKP telah mengeluarkan notis larangan penggunaan bahan kimia berbahaya, Methyl Bromide, yang digunakan dalam kerja-kerja fumigasi di kilang tersebut sehingga siasatan selesai.

Pihak majikan juga diarahkan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian serta langkah penambahbaikan.

"Pihak kami akan menjalankan siasatan susulan termasuk mendapatkan dokumen berkaitan, merakam keterangan saksi, serta melakukan pemeriksaan lanjut ke atas premis majikan setelah langkah penambahbaikan diambil," jelas kenyataan JKKP.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 jika didapati bersalah atas pelanggaran peraturan keselamatan.

Customer Support