fb fb fb fb fb

Kilang dan perniagaan tempatan digalak menggaji golongan muda, OKU, ibu tunggal

BACHOK, 29 Julai- Kilang dan perniagaan tempatan digalakkan menggaji golongan muda,Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu tunggal bagi membantu golongan itu menjana ekonomi keluarga.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata usaha itu dilihat bukan sahaja dapat membantu golongan memerlukan, bahkan memberi peluang kepada anak muda tempatan menyumbang idea dan kreativiti mereka dalam industri.

Beliau juga bercadang mengusulkan bantuan berbentuk dana atau insentif kepada kementerian berkaitan untuk membantu pengusaha kilang tempatan membeli mesin yang lebih efisien agar penghasilan produk lebih tinggi dan mampu dieksport.

"Ini satu perkara yang amat-amat bagus yang saya pun amat kagum melihat usaha yang dibuat oleh kilang berkenaan dan juga pertubuhan-pertubuhan yang terlibat sama.

Insya-Allah sebagai Timbalan Menteri Perpaduan, walaupun bukan bawah bidang kuasa saya tapi saya selaku sebahagian daripada anggota pentadbiran kerajaan, akan usulkan perkara ini kepada menteri-menteri yang berkaitan," kata Wan Ahmad Fayhsal.

(Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dalam sidang media di Bachok Kelantan)

Beliau bercakap dalam sidang media ketika melakukan lawatan ke tapak Perusahaan Inisiatif Belia Bekerja (IBB) di Kilang Projek D’Raja Kelantan, Pusat Pengembangan Ekonomi Desa, di sini.

Kilang itu yang mempunyai 55 pekerja terdiri daripada golongan belia, ibu tunggal dan OKU menghasilkan produk gentian organik daripada sabut kelapa yang diproses menjadi pelbagai produk seperti berus sabut, tilam, kusyen, tali dan produk untuk kegunaan industri perkapalan.

Dengan jangkaan lebih banyak produk dihasilkan seperti santan kelapa dan kerisik, 150 pekerja diperlukan bagi memenuhi permintaan pasaran.

Media Baharu