fb fb fb fb fb

Jangan hina, persenda agama atas nama kebebasan bersuara - YDPA

(Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bertitah pada Sambutan Ma'al
Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H dan Majlis Bacaan Yasin Hari Pahlawan Tahun 2022 di Masjid Wilayah Persekutuan)

KUALA LUMPUR, 29 Julai- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan rakyat, jangan sesekali memperkecil, menghina dan mempersenda agama semata-mata atas nama kebebasan bersuara.

Perbuatan sedemikian dikhuatiri hanya akan meruntuhkan perpaduan negara.

"Agama bukanlah satu perkara untuk bergurau senda dan dijadikan bahan jeanaka.

"Beta khuatir perbuatan sedemikian bakal menyemarakkan api perkauman dan meruntuhkan ikatan perpaduan antara semua kaum yang telah terbina sejak sekian lama," baginda bertitah bersempena majlis sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1444H/2011M dan majlis bacaan Yasin bersempena Hari Pahlawan di Masjid Wilayah Persekutuan di sini.

Seri Paduka juga menuntut agar kesucian semua agama dipelihara dan dihormati pada setiap masa.

Dalam pada itu baginda mahu peristiwa hijrah Rasulullah dijadikan asas dalam melestarikan semangat perpaduan dan kemakmuran kaum di negara ini.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, kesatuan sebuah masyarakat majmuk boleh dicapai dengan menghormati dan memahami kepelbagaian sedia ada.

"Tuntutan hijrah pada hari ini bukan hanya bermaksud perpindahan. Tetapi melibatkan transformasi minda bagi membentuk budaya hidup berteraskan moral dan etika.

"Sesuai dengan tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini iaitu 'Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran', jadikan peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W sebagai panduan untuk kita membina sebuah negara yang stabil dan gemilang," titah Seri Paduka Baginda di Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan tahun 1444 Hijrah di ibu negara.

(Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan tahun 1444 Hijrah)

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Majlis itu juga dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad dan anggota Jemaah Menteri lain.

Mengambil keberkatan kedatangan tahun baharu Hijrah ini, Al-Sultan Abdullah menyeru seluruh rakyat supaya memelihara nikmat dan rahmat negara yang merdeka dan berdaulat.

Media Baharu