KUALA LUMPUR, 3 Jun- Bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Isnin ini, khutbah khas solat Jumaat bertajuk ‘Dirgahayu Tuanku, Rahmat Selalu’ disampaikan di masjid-masjid seluruh negara.
Menurut Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan, Muhyidin Aziz @ Saari, khutbah khas tersebut menyentuh mengenai amalan sistem Raja Berperlembagaan yang meletakkan Yang di-Pertuan Agong pada kedudukan paling tinggi dan memiliki fungsi melindungi agama serta negara selain menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan seluruh masyarakat.
(Foto FB Istana Negara)
“Alhamdulillah, kita dikurniakan seorang sultan berjiwa rakyat yang menyempurnakan amanah pemerintahan dengan sifat-sifat insani dan berusaha memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat diutamakan dalam apa-apa jua situasi.
“Semoga kebijaksanaan pimpinan seorang sultan akan diperkukuhkan dengan nasihat barisan ulama yang tegas dan barisan umara (pemerintah) yang ikhlas akan didukung dengan taat setia rakyat yang hidup harmoni dan lebih utama dilimpahi cahaya petunjuk ilahi," kata Muhyidin ketika ditemu bual pemberita RTM.
Malaysia juga melihat kebijaksanaan Seri Paduka dan Raja-Raja Melayu yang mengambil beberapa keputusan bijak menstabilkan negara dalam menghadapi kemelut politik dan cabaran ketika dilanda pandemik COVID-19.
"Syukur kepada Allah SWT, institusi diraja memayungi kita dengan keadilan dan kebijaksanaan dalam memastikan keamanan, dapat dinikmati seluruh rakyat. Maka, sewajarnya kita menumpahkan seluruh ketaatan dan kesetiaan sesuai prinsip asas rukun negara yang kita lafazkan sebagai warganegara," tambahnya.
(Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan, Muhyidin Aziz @ Saari)
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan, ibu negara.
Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah pada pukul 1.07 minit tengah hari disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Mengakhiri khutbah, seluruh rakyat Malaysia diminta supaya meneruskan hubungan baik dengan pemerintah dengan masing-masing saling mendoakan bersesuaian tuntutan agama.
Pada masa sama, menjauhkan diri daripada perbuatan jahat dan sangkaan buruk terhadap pemerintah.
Selesai solat Jumaat, Al-Sultan Abdullah berkenan beramah mesra, bersalaman serta berswafoto dengan beberapa jemaah sebelum berangkat pulang ke Istana Negara.