KUALA LUMPUR, 3 Jun- Seramai 50,496 orang sukarelawan daripada tujuh buah agensi kerajaan telah mendaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) menerusi Kempen Mencarum PERKESO Untuk Sukarelawan.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, kempen mencarum ini dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya bersama agensi-agensi kerajaan lain yang disenaraikan dalam inisiatif SPS Khidmat di bawah Bajet 2022.
Kempen ini bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran golongan sukarelawan mengenai kepentingan perlindungan keselamatan sosial, di samping menggalakkan mereka mencarum dengan PERKESO.
"Lebih kepada melahirkan kesedaran supaya mereka mencarum. Ini adalah untuk masa depan mereka dan sektor yang mereka terlibat ini adalah risiko dia tinggi. Mereka perlu mencarum selain kita tak nak apa-apa yang tidak diingini akan berlaku nanti," kata Saravanan selepas Majlis Pelancaran Kempen Mencarum Perkeso Sukarelawan di ibu negara.
(Anggota keselamatan negara yang hadir pada majlis berkenaan diberikan pencerahan berhubung caruman yang disediakan PERKESO/Foto FB KSM)
Antara agensi yang disenaraikan dalam SPS Khidmat termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ia juga merupakan satu inisiatif proaktif kerajaan untuk memastikan jaringan perlindungan keselamatan sosial dapat diperluas kepada golongan Orang Bekerja Sendiri (OBS) di Malaysia, khususnya golongan sasar SPS Khidmat.
Sementara itu, kuota majikan akan ditamatkan jika memotong gaji pekerja asing bagi kegunaan kos membawa mereka masuk ke Malaysia.
Tegas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, majikan yang membawa masuk pekerja asing, perlu menanggung semua kos kemasukan pekerjanya.
"Memang ikut peraturan, mana-mana majikan yang membawa masuk pekerja asing ke negara ini perlu tanggung semua kos bukan pekerja yang bayar termasuk dari segi penginapan, penerbangan dan sebagainya," kata Saravanan ditemui media selepas Majlis Pelancaran Kempen Mencarum Perkeso Sukarelawan di ibu negara.
Beliau turut memaklumkan kerajaan bersetuju membawa masuk pekerja Bangladesh untuk bekerja dalam sektor perladangan, pertanian, pembuatan dan pembangunan.