KUALA LUMPUR, 3 Jun- Penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen antara yang dipersetujui dalam mesyuarat jemaah Menteri membabitkan agenda pembaharuan Parlimen.
Itu antara tiga perkara yang telah dipersetujui secara prinsip dalam cadangan reformasi Parlimen.
"Saya telah mengadakan perbincangan dengan Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat, maka telah dipersetujui untuk Kerajaan menggubal suatu RUU Perkhidmatan Parlimen bagi merealisasikan hasrat pengasingan kuasa di antara Badan Legislatif, Eksekutif dan Kehakiman," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataannya.
(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar/BERNAMA)
Penggubalan Akta itu juga mengambil kira penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen yang merupakan sebahagian daripada pengurusan Parlimen yang mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan dasar dan tadbir urus Parlimen Malaysia.
Beberapa perkara yang akan diteliti termasuklah cadangan mewujudkan Skim Perkhidmatan Parlimen serta sumber kewangan dan bajet tahunan yang diperoleh Parlimen daripada Kumpulan Wang Disatukan (Consiladated Fund) yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Parlimen sendiri selaras dengan prinsip pengasingan kuasa.
Dua lagi perkara yang membabitkan cadangan reformasi parlimen itu adalah pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) dan Draf Kod Etika Ahli-ahli Parlimen.