(Setiausaha Agensi Bahasa-Bahasa dan Terjemahan di Jabatan Hal Ehwal
al-Haramain, Ahmad Abdul Aziz al-Humaidi / BERNAMA)
MEKAH, 25 Jun- Khutbah Arafah berbahasa Arab bagi musim haji tahun ini akan disiarkan secara langsung dalam 20 bahasa, termasuk Bahasa Melayu.
Musim ini juga, enam bahasa baharu turut diperkenal iaitu Sepanyol, Portugal, Jerman, Filipina, Itali dan Bosnia sebagai tambahan bahasa untuk terjemahan khutbah Arafah.
Setiausaha Agensi Bahasa-Bahasa dan Terjemahan di Jabatan Hal Ehwal al-Haramain, Ahmad Abdul Aziz al-Humaidi berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 300 juta pendengar dapat mengikuti khutbah Arafah di seluruh dunia.
"Lebih dari 274 juta orang di seluruh dunia telah mendapat akses kepada khutbah Arafah pada musim haji tahun 1443H/2022M yang lepas hasil tranformasi digital dalam bidang teknologi maklumat,” katanya.
Beliau berkata terdapat lebih 40 penterjemah terlatih dan berpengalaman di agensi itu, dan bagi menjaga ketepatan maksud khutbah.
Kesemua mereka terdiri daripada golongan yang mempunyai kelayakan akademik doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana (MA), ijazah sarjana muda (BA) dalam bidang bahasa selain latar belakang pengajian Islam di institusi pengajian tinggi.
Antara bahasa utama untuk terjemahan ialah Inggeris, Perancis, Mandarin, Benggali, Rusia, Melayu, Urdu, Parsi, Hausa dan Turkiye.
Bagi umat Islam Malaysia yang tidak menguasai dan memahami Bahasa Arab, terjemahan khutbah ke Bahasa Melayu boleh diikuti menerusi portal https://manaratalharamain.gov.sa.

(FOTO HIASAN)