fb fb fb fb fb

Rakan Demokrasi, Rakan Litar diperkenal sebagai nafas baharu Rakan Muda

(Hannah Yeoh (dua dari kanan) bersama Adam Adli dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari
mengiringi Anwar ketika melancarkan Rakan Muda Nafas Baharu di UKM/ BERNAMA)

BANGI, 25 Jun - Dalam usaha memperkukuh jenama Rakan Muda, Rakan Demokrasi dan Rakan Litar diperkenalkan sebagai nafas baharu dan dilancarkan hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pengenalan Rakan Demokrasi bersesuaian dengan keputusan kerajaan yang sebelum ini telah menurunkan hak mengundi kepada golongan belia berusia 18 tahun.

"Melaluinya, kita nak pastikan golongan belia yang diberi hak dalam mengundi mereka ada pengisian, pendidikan berterusan dalam segenap aspek demokrasi untuk kita bantu mereka, beri lebih kefahaman.

"Rakan Litar pula diperkenal selari dengan gaya hidup golongan muda ketika ini yang memperlihatkan keterlibatan dan populariti sukan permotoran itu semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Rakan Muda yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Kebangsaan Malaysia pada Ahad.

Hannah berkata, lapan lagi gaya hidup Rakan Muda ialah Rakan Aktif, Rakan Bumi, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Muzik, Rakan Mahir, Rakan Niaga dan Rakan Prihatin.

Beliau berkata, inisiatif Rakan Muda yang diberi nafas baharu itu diharap mampu menarik minat lebih ramai anak muda dan menyasarkan penyertaan lebih sejuta golongan berusia lingkungan 15 hingga 30 tahun.


(Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh)

Sementara itu, rata-rata golongan belia yang ditemui menyambut baik dan bersemangat untuk mengikuti setiap program yang bakal dianjurkan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di bawah program Rakan Muda.

"Saya rasa pendekatan ini baguslah untuk kita rapatkan dan erat balik hubungan silaturahim dengan semua IPT dan semua golongan muda yang lain," kata Saripah Najwa Ishak.

"Saya harap dapat banyak manfaat untuk golongan macam saya yang baru saja habis SPM, jadi dari sini saya ada banyak idea ke mana hala tuju untuk saya selepas ini," kata Angeldevi Marutanayagam Pillai.

"Saya rasa aktiviti ini mencapai 'expectation' (jangkaan) saya dan ia akan menjadi sangat bermakna kerana saya akan belajar banyak benda dan 'enjoy' dalam aktiviti ini," kata Wiltord Voon Shun Jie

Inisiatif Rakan Muda mula diperkenalkan sejak 1994 merupakan pelaksanaan platform pengisian masa berkualiti dan penyatuan perpaduan golongan belia.

Media Baharu