fb fb fb fb fb

Khidmat sajian makanan untuk jemaah haji ditambah baik - TH

MAKKAH, 8 Jun- Sebanyak 42 jenis menu sajian berjadual disediakan Lembaga Tabung Haji (TH) tahun ini, bagi memastikan setiap jemaah dapat menikmati juadah berbeza dan menepati citarasa Malaysia.

Ia merupakan penambahbaikan oleh TH, dalam usaha meningkatkan perkhidmatan sajian makanan kepada para jemaah.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman memaklumkan 14 menu pelbagai jenis disediakan untuk jemaah haji semasa di Madinah dan 28 jenis di Makkah.

Penyediaan juadah disediakan oleh 18 orang tukang masak berpengalaman dari Malaysia.

"Kita sentiasa pantau dan mengawal kebersihan dan keselamatan makanan selain kita melihat atur cara penyediaan bagi mengelak sebarang kesan pencemaran makanan terhadap makanan yang disediakan," kata Syed Saleh kepada pemberita hari ini.

Semua menu yang disediakan juga dipilih setelah melalui saringan pihak nutrisi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


(Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman)

"Pada saya, okaylah sedap. Orang lain, tekak lain kan. Alhamdulillah, habis bila makan tu," kata Miswan Tori, jemaah haji dari Johor.

"Makanan sangat diluar sangkaan kita sebab sebelum ini dengar macam susah nak dapat makanan. Tetapi ini sebaliknya, mewah juga lah makanan macam kat Malaysia," kata Nur Maisara Nasuha Ramlan, jemaah haji dari Pahang.

"Setakat ini, alhamdulillah. Selesa, bilik pun luas, makanan pun sesuai dengan tekak Malaysia kami ini," kata Ahmad Firdaus Danial, jemaah haji dari Pahang.

Hidangan dalam bentuk bungkusan itu disediakan kepada para jemaah pada setiap waktu makan tengah hari dan makan malam.


(Jemaah haji, Ahmad Firdaus Danial)

Media Baharu