KUALA LUMPUR, 13 Disember- Sebanyak satu peratus pengisian Program Perumahan Rakyat (PPR) diberikan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), selain keutamaan bagi pengisian di tingkat bawah.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata komitmen itu dizahirkan demi membela nasib rakyat dengan menyediakan inisiatif pembiayaan untuk menggalakkan pemilikan rumah termasuk bagi golongan berkenaan.
"Bagi tujuan pembiayaan bagi pembelian rumah pertama, kerajaan menyediakan inisiatif i-Biaya yang menyediakan jaminan pembiayaan melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).
"Inisiatif SJKP ini menyediakan jaminan pembiayaan bagi pembelian rumah pertama bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau penyata gaji seperti golongan economi gig termasuk OKU," kata Aiman Athirah ketika menjawab pertanyaan Senator Isaiah D Jacob di Dewan Negara di sini.
SJKP menyediakan jaminan RM5 bilion nilai pinjaman dan inisiatif yang ditambah baik menerusi pengumuman Ekonomi MADANI, dengan tambahan jaminan pembiayaan sehingga RM5 bilion.