GEORGE TOWN, 22 Februari – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia di Jabatan Kecemasan Hospital Pulau Pinang (HPP) pada pukul 6.28 petang tadi.
Allahyarham rebah ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, di sini sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.
Chow, yang baru tiba dari lawatan kerja di Jepun kira-kira pukul 8.15 malam, terus bergegas ke HPP bagi menziarahi keluarga Allahyarham.
"Saya, bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan secara peribadi, mengucapkan takziah kepada keluarga Ishsam Shahruddin, ADUN Ayer Kuning, Negeri Perak, yang meninggal dunia petang tadi semasa perlawanan bola sepak di Stadium Bandaraya, George Town.
"Ini adalah berita mengejutkan, namun hakikat yang perlu diterima. Keluarga telah bersedia dan jenazah akan dihantar pulang ke Ipoh, Perak, malam ini selepas semua proses selesai,"* katanya.
Sementara itu, anak Allahyarham, Muhammad Iszul Imadi Isham, 32, menyifatkan pemergian bapanya sebagai mengejutkan kerana beliau seorang yang aktif bersukan dan tidak mempunyai masalah kesihatan.
"Dia memang suka bermain bola dan setiap hari berjoging. Dia sihat sahaja… jadi pemergiannya amat mengejutkan.
"Pagi tadi pun dia seperti biasa, tiada menunjukkan sebarang tanda masalah kesihatan. Berita pemergiannya diterima ibu saya daripada pihak hospital sekitar pukul 5 petang," katanya dengan nada sebak.
Hasil bedah siasat yang dijalankan kira-kira pukul 9.00 malam tadi mendapati punca kematian Allahyarham adalah serangan sakit jantung.
Van yang membawa jenazah bergerak ke Ipoh lebih kurang pukul 10.45 malam dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia, Ipoh pada pukul 11 pagi esok.
BERITA BERKAITAN: